• 2025-09-25 02:38 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap Belanjawan 2026 akan menekankan kepada pembangunan berterusan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, dengan memberi tumpuan kepada penskalaan PMKS.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP telah selesai mengadakan sesi libat urus dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pasukan Belanjawan Kementerian Kewangan serta menyampaikan pandangan dan harapan daripada perbincangan dengan agensi dan pihak berkepentingan, termasuk usahawan PMKS dan koperasi.

“Dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13, KUSKOP memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu penskalaan PMKS, pembangunan perusahaan sosial dan perniagaan inklusif serta pengembangan industri francais negara.

“(Oleh itu), syor-syor belanjawan kita adalah berasaskan kepada tiga tumpuan ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan SME Bank XCESS 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SME Bank Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata tumpuan utama industri bagi SME Bank adalah halal, perusahaan sosial dan eksport.

“Satu lagi fokus yang sering kita berikan perhatian ialah pembiayaan kontrak daripada kerajaan dan agensi. Oleh itu, semua bidang tumpuan ini, insya-Allah akan menjadi fokus kita untuk 2026.

“Selain pembiayaan, kita juga memberi penekanan kepada aspek di luar pembiayaan kerana di bawah SME Bank terdapat subsidiari iaitu Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) yang benar-benar memberi fokus kepada pembangunan kapasiti,” katanya - Bernama