KOTA KINABALU: Kursus pengajian di universiti di negara ini masih relevan selaras dengan keperluan pasaran serta perancangan kerajaan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan dakwaan sesetengah pihak mengenai ketidakrelevanan program pengajian universiti adalah tidak benar.
Beliau berkata universiti khususnya di peringkat kementerian mengambil pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole of government.
“Maknanya, bagi perancangan masa depan keperluan pasaran negara dalam industri tertentu, pihak kementerian yang ada sentiasa bekerjasama kerana kita mahu pastikan universiti awam atau universiti swasta memberikan khusus yang ada nilainya,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program “Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan: Era Baharu Kepimpinan” anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Zambry menekankan proses penilaian keperluan pasaran sentiasa dilakukan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan di peringkat Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI).
“Program yang diatur itu sentiasa berada dalam perancangan bersama di peringkat pelbagai kementerian bagi memenuhi keperluan negara.”
Beliau menambah mungkin ada pihak yang melihat dari segi keperluan industri tertentu tetapi perancangan kerajaan melihat secara keseluruhan dalam pelbagai sektor.
“Ada bidang yang mempunyai keperluan di pasaran tetapi asas kepada teras pendidikan kita tidak boleh korbankan kerana ia menjadi asas untuk membentuk manusia.”
Zambry berkata kementerian, MQA dan universiti sentiasa membuat penilaian dalam tempoh tiga ke lima tahun bagi setiap kursus untuk memastikan relevansinya dengan kehendak pasaran. – Bernama