KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu tampil sebagai agen perubahan dalam menghadapi cabaran semasa dengan berteraskan semangat, keberanian dan idealisme demi membina sebuah negara yang lebih adil, makmur dan berdaya saing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook berkata Malaysia memerlukan belia yang celik, berprinsip dan berwawasan, bukan yang terperangkap dalam polemik remeh yang memecahbelahkan.
Sempena Hari Belia Negara, Perdana Menteri meminta golongan itu supaya memfokuskan tenaga dan kepakaran untuk menangani isu-isu rakyat, menolak salah guna kuasa serta memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
“Kerajaan komited memperkasa belia melalui pelbagai inisiatif, termasuk dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan, inovasi dan kepimpinan.
“Masa depan negara dibina bersama generasi muda yang berani dan berintegriti. Teruslah melangkah ke hadapan. Masa depan Malaysia bermula dengan anda,” katanya.