KUALA LUMPUR: Benteng kolam takungan air di Taman Sri Alam, Saujana Utama dekat sini pecah lagi awal pagi tadi susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada 7.52 pagi tadi dan lima anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Susulan itu air daripada kolam berkenaan telah melimpah dan menenggelamkan kawasan sekitar sedalam satu kaki dan menjejaskan 35 rumah yang terletak berhampiran.
“Paras air di kawasan berkenaan bagaimanapun telah mula surut dan tiada mangsa dipindahkan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada petang 29 Dis lepas benteng kolam takungan air di taman perumahan berkenaan telah pecah dan menjejaskan kira-kira 200 buah rumah.