CYBERJAYA: Beras putih tempatan dan Jualan Kombo MADANI menjadi antara tarikan utama di Jualan Agro MADANI sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berlangsung di sini hari ini.

Peniaga Agro MADANI Saifuddin Sapar, 34, berkata 200 kampit beras putih tempatan 10 kilogram dijual hari ini pada harga RM26.

“Hari ini kami bawa beras putih tempatan Jualan Kombo MADANI, serta buah-buahan potong dan jus buah-buahan. Untuk Jualan Kombo MADANI, setiap bakul mengandungi lima barang iaitu minyak masak, bihun, telur, bawang, dan sayur yang dijual pada harga RM10 setiap bakul.

“Biasanya jika semua item ini dibeli di luar, harganya sekitar RM15, tetapi hari ini kami menjualnya dengan harga lebih murah,” katanya kepada Bernama.

Saifuddin berkata barangan yang ditawarkan dalam program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu biasanya berbeza mengikut permintaan orang ramai.

“Bakul kombo barangan runcit adalah inisiatif baru tahun ini. Tahun-tahun sebelumnya, kami menjual barangan basah seperti ayam dan sayur-sayuran,” katanya.

Sementara itu seorang pengunjung, Ammar Ishak, 50, berkata program seperti ini sangat dinantikan kerana ia membolehkan beliau membeli barangan keperluan pada harga yang lebih murah.

“Kami memang tahu jika ada program seperti ini, pasti ada tawaran menarik untuk barangan keperluan dan barangan basah. Sebab itu saya selalu berkunjung ke program seperti ini untuk merebut peluang mendapatkannya,” katanya.