DOHA: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sedang meneroka prospek baharu kerjasama dengan Agensi Berita Qatar (QNA) dalam mengukuhkan perkongsian global dan meningkatkan kehadiran dalam landskap media antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata demikian di Doha semasa pertemuan dengan Ketua Pengarah QNA Ahmed bin Saeed Al Rumaihi bagi meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua agensi berita itu.

Roslan berkata antara perkara yang dibincangkan ialah pertukaran kakitangan, dengan petugas QNA boleh mempelajari operasi editorial Bernama selain mengikuti latihan dalam bahasa Inggeris.

“Mereka juga menawarkan tempat kepada Bernama di QNA untuk membuka operasi biro di Doha,“ kata Roslan mengenai tawaran QNA kepada Bernama.

Bernama dan QNA akan bekerjasama rapat dalam pertukaran berita melalui perjanjian kerjasama sebelum ini yang ditandatangani pada tahun 2002 dan memudahkan penyampaian maklumat untuk kedua-dua negara.

“Bernama juga akan bekerjasama dengan kedutaan Malaysia di Doha untuk mengenal pasti peluang strategik baharu berkaitan media kedua-dua negara,“ katanya.

Menambah satu lagi dimensi dalam kerjasama itu, BERNAMA bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kedutaan Malaysia di Doha yang diterajui oleh Dutanya Zamshari Shaharan.

Tumpuan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang pelaburan di Doha dan Malaysia.

Perkongsian ini juga akan menyerlahkan pelaburan Malaysia yang sedang berkembang di Doha dan sebaliknya, selain mewujudkan persekitaran sinergi untuk usaha niaga dan pertumbuhan ekonomi.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image