• 2025-09-26 06:26 PM

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaksanakan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) menerusi transformasi digital sektor padi dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) kepada 80 peratus menjelang 2030.

Ketua Agronomi BERNAS Dr Nur Firdaus Mohamad Yusof menyatakan pendekatan baharu ini menjadi tonggak penting dalam memperkasakan pesawah dan memastikan kelangsungan bekalan makanan ruji negara.

Beliau menjelaskan bahawa petani yang dahulu bekerja secara individu kini disatukan di bawah pengurusan berpusat untuk aktiviti seperti kawalan perosak, pembajaan dan penuaian yang dilakukan serentak.

“Hasil lebih baik, kos pula jauh lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Purata penggunaan beras per kapita negara kini mencecah 76.7 kilogram setahun dengan jumlah keseluruhan sekitar 2.6 juta tan.

Hanya lebih kurang 56 peratus beras dihasilkan dalam negara manakala selebihnya diimport.

Nur Firdaus berkata BERNAS melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong pesawah termasuk Program SMART SBB bagi memastikan mereka menerima benih sah berkualiti tinggi dan mengurangkan isu padi angin.

Projek SMART SBB di Kota Belud, Sabah berjaya melonjakkan pengeluaran, menurunkan kos operasi dan mengurangkan kadar padi angin daripada 60 peratus kepada 20 peratus dalam satu musim.

Beliau menekankan penggunaan teknologi pintar melalui Rakan Tani Pintar AI yang membolehkan pesawah menerima nasihat teknikal segera termasuk berkenaan kawalan penyakit, jadual penanaman dan panduan pengairan.

Jawapan diberikan berasaskan data rasmi Rice Check dan pengalaman lapangan agronomis.

Langkah memperkukuh sistem Farm Management Solution (FMS) berasaskan Internet benda (IoT) membolehkan lima stesen cuaca milik BERNAS di seluruh negara menyalurkan data ramalan hujan yang lebih tepat.

Ini membolehkan petani menuai lebih awal sebelum padi rebah.

Teknologi Penderiaan Jauh (PSSS) menggunakan dron multispektral membantu mengesan penyakit dan memantau kesuburan tanaman.

Stereng automatik untuk jentera menjadikan kerja lebih mudah serta menarik minat generasi muda ke sektor ini.

BERNAS turut mengagihkan jentera percuma bernilai 4 juta ringgit setahun kepada ketua tani.

Syarikat itu juga menyediakan kemudahan Pendahuluan Kos Operasi Ladang (PKOL) tanpa faedah sebelum musim bermula.

BERNAS menyediakan Jadual Kerja Ladang (JKL) serta program makan tengah hari percuma PROMAK untuk anak-anak pesawah.

Makmal Kualiti Beras BERNAS dilancarkan pada 2023 sebelum diiktiraf ISO17025:2017 sebagai pusat ujian beras pertama seumpamanya di Asia.

Walaupun ancaman perubahan iklim, kos input meningkat dan kekurangan tenaga kerja muda terus membayangi industri, Malaysia berada di landasan tepat untuk memperkukuh keterjaminan makanan.

Kombinasi teknologi moden dan dasar yang kukuh dilihat sebagai pemangkin utama.

“Petani adalah nadi industri ini. Dengan mereka diperkasakan, kita bukan sahaja menjamin nasi di pinggan rakyat, tetapi juga masa depan keselamatan makanan negara,” katanya. – Bernama