KUALA LUMPUR: Bersatu memfailkan tindakan undang-undang supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengosongkan lima kerusi Parlimen parti berkenaan.
Setiausaha Kerja Bersatu Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presiden Bersatu yang juga Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif memfailkan saman pemula menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Tinggi di sini pada 15 Nov lepas.
Parti itu menamakan Johari serta lima ahli Parlimen yang terlibat iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) sebagai defendan pertama hingga keenam.
Dalam saman itu, kedua-dua plaintif memohon satu deklarasi bahawa defendan pertama (Johari) melalui surat bertarikh 9 Julai 2024 telah bertindak menyalahi Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen itu.
Plaintif-plaintif memohon satu deklarasi bahawa Johari perlu mematuhi peruntukan tersebut dengan memastikan telah berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen tersebut dan perlu memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya tentang kekosongan itu dalam tempoh 21 hari daripada perintah mahkamah.
Kedua-dua plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan, peranan dan tanggungjawab defendan pertama adalah untuk memastikan defendan kedua hingga keenam tidak lagi menjadi ahli parti politik Bersatu, oleh itu berlaku kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen berkenaan.
Turut dipohon, satu deklarasi bahawa di bawah Fasal 10.6 Perlembagaan Bersatu, notis bahawa keahlian seseorang ahli Bersatu telah terhenti sepertimana diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan tidak boleh dipertikaikan oleh defendan pertama.
Berdasarkan afidavit sokongan bagi saman itu, Ronald berkata defendan kedua hingga keenam telah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan kesemua mereka ketika itu adalah ahli Bersatu dan selepas pilihan raya itu Bersatu atau Perikatan Nasional memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dan kekal sebagai pembangkang.
Ronald berkata bermula dari 12 Okt 2023, defendan kedua hingga keenam telah mengalihkan sokongan mereka kepada Anwar serta pihak kerajaan dan ini jelas melanggar ketetapan Bersatu untuk tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui Anwar.
“Walaupun defendan kedua hingga keenam mengakui masih menjadi ahli Bersatu, ia adalah perbuatan ‘lompat parti’ dan mereka memanipulasikan peruntukan undang-undang anti lompat parti dengan mengambil kesempatan untuk tidak meninggalkan parti walaupun tindakan mereka jelas melanggar dasar parti,” kata Ahli Parlimen Beluran itu.
Ronald berkata pada 17 Mei 2024, MPT Bersatu telah mengeluarkan arahan khusus secara bertulis di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu kepada defendan kedua hingga keenam antara lain perlu menarik balik sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.
“Defendan kedua hingga keenam juga perlu menyatakan hal tersebut secara bertulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, mematuhi apa jua dasar, ketetapan dan arahan yang diputuskan oleh MPT Bersatu, menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti Bersatu, mendukung serta bersikap setia kepada perjuangan parti itu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya defendan kedua hingga keenam telah cuai, gagal dan enggan untuk mematuhi arahan tersebut dan pada 12 Jun 2024, Bersatu telah mengeluarkan notis memaklumkan bahawa keahlian mereka telah terhenti secara serta merta dan nama mereka telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti itu menurut Fasal 10.6 Perlembagaan Bersatu.
Sementara itu, semakan sistem mahkamah mendapati pengurusan kes itu pada 29 Nov ini.