Your Title

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas personaliti televisyen Norjuma Habib Mohamed yang didakwa menyebabkan kecederaan ke atas dua individu dan melakukan khianat, akan bermula pada April dan Mei tahun hadapan, di tiga Mahkamah Majistret di sini.

Bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal Neupane Tika Ram, Majistret Illi Marisqa Khalizan hari ini menetapkan perbicaraan selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 April 2025.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara, Brickfields di sini, pada 3 petang, 29 Mac 2018, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di hadapan Majistret Haneefa Arifin pula, mahkamah menetapkan 13 dan 14 Mei depan untuk perbicaraan bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah syarikat borong dan runcit di Menara Atlan, Jalan Ampang, Dang Wangi di sini pada 8.43 malam, 21 Feb 2017, mengikut seksyen sama.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan pula menetapkan 5 dan 6 Mei 2025 bagi perbicaraan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan serta kamera litar tertutup (CCTV) milik Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju di sini pada 7.44 dan 7.45 malam pada 28 Julai 2023, yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM4,700.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan dihadapi Norjuma yang didakwa menyebabkan kecederaan dengan menampar pipi serta mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di kondominium sama, pada 10.30 pagi, 18 Okt 2021, mahkamah menetapkan 11 Nov ini untuk serahan dokumen dan untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri, Amritpreet Kaur dan Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Shahrun, manakala Norjuma diwakili peguam Faiz Kamal Jaafar.

Terdahulu, Syafika Azwa dan Amritpreet memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan Norjuma untuk semua kes dibicarakan bersama ditolak.

“Permohonan itu ditolak kerana saksi dan mangsa dalam kes itu adalah berbeza,” kata Amritpreet.