• 2025-10-05 06:44 PM

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat dengan pembukaan pusat pemindahan sementara tambahan manakala Perak mencatatkan penurunan bilangan mangsa setakat petang ini.

Sebuah pusat pemindahan sementara baharu telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Langgar, Alor Setar untuk menampung mangsa banjir di Kedah.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Mejar Muhammad Suhaimi Mohd Zain menyatakan jumlah mangsa di pusat pemindahan masih dalam proses bancian.

Di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Pokok Sena, jumlah mangsa meningkat kepada 109 orang daripada 33 keluarga berbanding 100 orang pagi tadi.

Sungai Kedah di Jabatan Lebuhraya, Kota Setar mencatatkan paras air 1.84 meter melebihi tahap amaran 1.8 meter.

Cuaca di Kedah dilaporkan cerah tanpa hujan pada masa ini.

Kejadian banjir di Kedah dipercayai berpunca daripada aliran air dari Pokok Sena ke Pekan Langgar.

Di Perak, hanya satu pusat pemindahan sementara masih beroperasi di daerah Larut, Matang dan Selama.

Dua pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor dan Sekolah Kebangsaan Simpang, Taiping telah ditutup petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 31 orang daripada lapan keluarga berbanding 107 orang pagi tadi.

Mangsa yang masih ditempatkan merupakan penduduk dari Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan akan turun di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta pada sebelah malam ini. – Bernama