PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan pengulas politik konservatif Amerika Syarikat (AS) Bill O’Reilly yang mendakwa Asia Tenggara ‘tiada wang’, sambil menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang angkuh dan jahil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenyataan itu bukan sahaja menunjukkan kejahilan O’Reilly terhadap realiti semasa Asia Tenggara, tetapi turut mencerminkan pemikiran sempit yang dipengaruhi sentimen perkauman dan ideologi penjajah,

“Ini satu gambaran sikap ekstrem keangkuhan sesetengah orang yang sebenarnya dangkal ilmu, jahil dan anggap hanya kelompok atau negara dia sahaja yang paling berjaya.

“Dalam sains sosial, ini disebut sebagai pemikiran yang terperangkap... pemikiran yang terbawa-bawa dengan sikap imperialis menyebabkan ada sikap xenophobia, anti-kaum lain dan Islamophobia,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Anwar hadir ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan meluangkan masa kira-kira sejam 20 minit di majlis tersebut.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Sebelum ini dalam satu segmen videonya O’Reilly mendakwa rakyat Malaysia tidak mempunyai wang dan tidak relevan sebagai rakan dagang kepada China.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau mengulas mengenai lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja baru-baru ini.

Xi kini berada di Kemboja selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, yang merupakan kunjungan rasmi keduanya ke negara ini sejak 2013, yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana pada Rabu, Anwar dan Xi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan memperingati ulang tahun ke-50 pencapaian tersebut pada tahun lepas.

Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dan tahun lepas, jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.