SHAH ALAM: Program BizMatch Mega 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya menghimpunkan lebih 1,500 usahawan dalam usaha memperkukuh jaringan perniagaan melalui pelbagai akses pembiayaan dan keusahawanan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif ini selaras dengan agenda pembangunan keusahawanan negeri. “Ramai individu terpaksa menangguhkan hasrat memulakan perniagaan kerana kekangan modal, sedangkan kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kewangan,“ katanya.
Beliau menekankan bahawa kebergantungan kepada pinjaman bank bukan satu-satunya pilihan. “PKNS menyediakan platform terbuka untuk usahawan mendapatkan maklumat, nasihat, dan peluang pembiayaan,“ tambahnya.
Program ini turut melibatkan agensi seperti Agro Bank, BSN, SME Bank, TEKUN Nasional, MARA, dan Lembaga Zakat Selangor. Selain sesi padanan perniagaan, BizMatch Mega turut menawarkan Pavilion PKNS BizPoint yang menyediakan maklumat program keusahawanan dan projek hartanah PKNS.
Amirudin turut memuji komitmen PKNS dalam melahirkan lebih 10,000 usahawan melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU). “PKNS antara SEDC yang konsisten dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan,“ ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Ekspo Usahawan Selangor (SelBiz) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 November depan. - Bernama