KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan penuh Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI) bagi syarikat pemastautin yang layak berkuat kuasa 1 Julai 2025 bagi menggalakkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan.

Menurut BNM dalam kenyataan hari ini, pelaksanaan ini diperluas berikutan kejayaan program rintis QRI yang diperkenalkan pada April 2024.

“Sejak mula dilaksanakan, program QRI telah menjana aliran masuk dana berjumlah lebih US$1 bilion (US$1=RM4.23) daripada syarikat-syarikat peserta ke dalam pasaran kewangan domestik,” kata bank pusat.

BNM berkata pelabur pemastautin yang layak hanya perlu melengkapkan pendaftaran sekali sahaja dengan bank pusat untuk mendapatkan fleksibiliti QRI bagi melaksanakan aktiviti pelaburan langsung luar negeri pada masa akan datang tanpa perlu mendapatkan kelulusan tambahan terlebih dahulu daripada bank pusat.

“Untuk menikmati fleksibiliti berkenaan, pelabur pemastautin hendaklah terlebih dahulu membawa balik dan menukarkan perolehan dana mata wang asing yang menepati syarat kepada ringgit setelah berjaya mendaftar dengan BNM,” katanya.

Pelabur pemastautin yang berkelayakan termasuk syarikat pemastautin yang membawa balik dan menukarkan dana perolehan mata wang asing hasil daripada pelaburan luar negeri kepada ringgit; dan menunjukkan amalan tadbir urus korporat yang baik serta pematuhan kepada dasar pertukaran asing.

Program QRI akan tersedia hingga 30 Jun 2028.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui bnm.gov.my/fep.