KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan pelan kontingensi dengan Jabatan Perhutanan Negeri bagi mengatasi kebakaran hutan gambut.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata satu daripada pelan itu ialah mengenal pasti keupayaan dalam memastikan bekalan air mencukupi bagi membantu pemadaman berterusan di lokasi terlibat.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 572 “hotspot” berlaku kebakaran terbuka di seluruh negara dan negeri merekodkan jumlah kebakaran tertinggi antaranya Selangor, Perak, Johor serta Kedah.

“Kebakaran terbuka dikenal pasti berlaku di tempat yang sama (572 hotspot) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut dan bomba akan klasifikasikan ia sebagai hotspot untuk kebakaran terbuka.

“Kita juga menyedari ada lokasi yang tidak mendapat bekalan air mencukupi contohnya di Terengganu dan sempadan Kelantan memandangkan ia mempunyai hutan beris,“ katanya.

Beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Bicara Governans, Integriti dan Antirasuah Tahun 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan.

Nor Hisham berkata bagi penyelesaian di lokasi yang tidak mempunyai bekalan air mencukupi itu, pihaknya akan memohon bantuan Pejabat Daerah untuk menggunakan jengkaut bagi membuat benteng mencegah kebakaran merebak.

“Selain kebakaran hutan gambut, kita juga ada kerisauan membabitkan kebakaran di tempat pelupusan sampah sama ada membabitkan pihak berkuasa tempatan mahupun pihak yang melakukan secara tidak sah kerana ia (pembakaran sampah) akan membabitkan proses pemadaman yang lama,” katanya.