• 2025-07-14 08:34 PM

SHAH ALAM: Sebuah bot nelayan Kelas B ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor atas disyaki melanggar syarat lesen dan menggajikan kru warga asing tanpa dokumen yang sah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam semalam di perairan barat Kapar, pada kedudukan 3.6 batu nautika dari pantai.

Menurut Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, pemeriksaan mendapati dua kru bot tersebut tidak disenaraikan dalam lesen bot berkenaan.

Seorang daripadanya ialah warga Myanmar berusia 41 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Warga Myanmar itu juga tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,“ jelas Abdul Muhaimin dalam kenyataan rasmi.

Bot dan semua kru kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut oleh pegawai Maritim Malaysia Selangor. – Bernama