PADAWAN: Biarpun peluh membasahi dahi dan panas terik menyengat kulit, 21 kontinjen daripada pelbagai sub-etnik Bidayuh tetap melangkah gagah dalam perarakan sempena Program Brarak dan Bipijak Gawai 2025, menonjolkan keindahan warisan budaya serta warna-warni busana tradisional masing-masing.

Diiringi paluan gendang dan sorakan pengunjung sepanjang laluan kira-kira satu kilometer, acara yang berlangsung di Kampung Segu Benuk petang semalam, menjadi medan menyemarakkan perpaduan dalam kepelbagaian, sekali gus mencerminkan semangat “Indi Awang, Indi Asung” yang bermaksud “sehati sejiwa” dalam bahasa Bidayuh.

Bagi peserta dari Persatuan Bisitang dari Kampung Simbuh Tyeza Ahira Henry, 21, penyertaan sulung komuniti itu dalam program ini, membuka ruang untuk lebih mengenali kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Bidayuh.

“Acara ini memberi peluang khususnya kepada golongan muda sepertinya untuk mengenali sub-etnik lain dalam kalangan Bidayuh, yang sebenarnya memiliki banyak cabang budaya dan bahasa serta pakaian yang berbeza mengikut kampung,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi peserta Erida Jerry, 30, berkata penglibatan aktif generasi muda, menjadi petanda positif dalam memartabatkan budaya kaum itu kepada pengunjung luar Sarawak.

“Brarak Gawai perlu dianjurkan setiap tahun, kerana kita dapat lihat kemeriahannya dari tahun ke tahun dan sekiranya diberi peluang, saya mahu terus terlibat dalam acara sebegini,” katanya yang juga merupakan Bidayuh Bisitang.

Dalam pada itu, Dr Hilda Michael, 32, yang mewakili kontinjen Persatuan Biya, meluahkan keterujaannya melihat kemesraan penduduk Kampung Segu Benuk yang menyambut kehadiran setiap peserta perarakan di hadapan rumah masing-masing.

Walaupun kontijen kami agak kecil, suasana sambutan tidak dapat dinafikan, terutamanya dengan penduduk menghulurkan makanan dan minuman kepada kami sepanjang jalan... ini kali pertama kami sertai program seperti ini dan tentunya kami teruja untuk sertainya lagi tahun hadapan,” katanya.

Edisi ketiga program anjuran Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) itu, mencatat peningkatan ketara kepada jumlah kontinjen dengan penyertaan kira-kira 3,000 peserta tahun ini, berbanding hanya enam kontinjen pada 2024.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata berikutan sambutan hangat dari tahun ke tahun dengan kehadiran pengunjung luar Sarawak, acara Brarak dan Bipijak Gawai berpotensi dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri bersempena sambutan Hari Gawai.

“Dengan respons semasa, kami akan perbaiki lagi program ini untuk memasukkan banyak perkara lain bagi menunjukkan kepelbagaian buadaya Sarawak kepada dunia,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Mambong itu.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang juga penaung PSBP pula berkata cadangan kerajaan negeri untuk membangunkan pusat kebudayaan di Kampung Segu Benuk, bakal memperkukuh peranan komuniti Bidayuh sebagai destinasi budaya dan pelancongan.

“Rancangan ini dilaksanakan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan saiz tanah seluas kira-kira dua hektar... jadi ia juga dapat menambah baik fasiliti untuk mengadakan program perarakan seperti ini,” katanya.

Brarak dan Bipajak bermaksud perarakan dan berkumpul dalam bahasa Bidayuh itu, dilaksanakan pada jarak sejauh satu kilometer, dengan setiap kumpulan menampilkan identiti tersendiri, menjadikan perarakan itu seumpama lautan warna dan suara yang meraikan kepelbagaian sub-etnik mereka.