Buat hantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM, Sanjeevan didakwa

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter.

Sanjeevan, 36, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Bagi pertuduhan pertama, Sanjeevan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM dengan niat menganiayai orang lain melalui aplikasi Twitter @SanjeevanSS, yang dibaca pada 7 April 2020, jam 3.15 petang di Pejabat Komunikasi, Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Ahli perniagaan itu juga dituduh melakukan perbuatan sama melalui aplikasi Twitter @My_CrimeWatch yang dibaca pada 17 Mei 2020, jam 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu, pada 18 Mac, jam 4.20 petang dan 16 Mei 2020, jam 9.07 malam mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz, menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang membuat penghantaran berkaitan PDRM di laman media sosial miliknya.

Sanjeevan yang diwakili peguam, S. Preakas memohon jaminan antara RM2,000 dan RM3,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai rekod yang baik walaupun pernah dituduh beberapa kali sebelum ini tetapi memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang didakwa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan tersebut. -Bernama