ALOR SETAR: Mangsa banjir di Pokok Sena, Mohamad Naim Jusop memutuskan untuk berpindah ke rumah baharu lebih awal daripada perancangan asal kerana bimbang keselamatan anak berusia 11 bulan, jika bencana itu berlaku lagi.
Mohamad Naim, 40, dari Taman Puteri berkata banjir malam tadi merupakan kejadian kedua dialami mereka sejak menetap di situ kira-kira lapan tahun lepas, dan lebih teruk berbanding 2021.
“Hujan lebat sejak 4 petang semalam menyebabkan air mula naik pada 7 malam tetapi surut selepas itu. Bagaimanapun, paras air naik semula kira-kira 9 malam sehingga setinggi paras betis.
“Saya dan isteri ambil keputusan untuk ke rumah keluarga di Kampung Tualang kerana anak perempuan kami kerap menangis,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Pesawah itu berkata selepas pulang ke rumah 9.30 pagi tadi, banyak barangan tidak dapat diselamatkan dan setelah berbincang, mereka memutuskan untuk terus keluar dan menumpang di rumah ahli keluarga sementara menunggu masa untuk masuk kediaman baharu.
“Kami merancang berpindah hujung bulan ini, tetapi ambil keputusan berpindah terus kerana rasa seperti tidak berbaloi untuk mengemas semula (selepas banjir dan untuk berpindah). Lega juga kerana hari ini ada sukarelawan menolong daripada perlu buat semua sendiri,” katanya.
Guru Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah dekat Kuala Nerang Ilyas Ahmad berkata beliau dan lapan pelajar membantu membersihkan tujuh rumah terjejas banjir, walaupun pada awalnya hadir untuk membantu seorang pelajar yang tinggal di situ.
Sementara itu, Mohamad Amli Ghazali, 43, berkata tidak menyangka rumahnya akan dinaiki air kerana sudah terlalu lama kawasan tersebut tidak mengalami banjir, menyebabkan banyak barangan berharga tidak dapat diselamatkan.
“Semalam hujan memang lebat tetapi tidak jangka akan banjir. Bila nampak air dalam parit di belakang rumah sudah naik, saya terus mengarahkan isteri dan lima anak untuk segera buat persiapan berpindah.
“Air masuk ke dalam rumah sehingga paras betis dan saya tidak sempat menyelamatkan kereta, motosikal dan barangan perabot lain,” katanya.
Malam tadi, banjir menyebabkan sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Pokok Sena iaitu di Dewan Serbaguna Pokok Sena bagi menempatkan 200 mangsa daripada 50 keluarga - Bernama