• 2025-10-04 06:58 PM

ISKANDAR PUTERI: Pelumba negara Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG) menamatkan kemarau podium Malaysia selama lima tahun di Le Tour de Langkawi (LTdL).

Beliau berjaya menamatkan saingan peringkat ketujuh di tempat kedua hari ini.

Kejayaan pelumba berusia 26 tahun itu lebih manis kerana hadir di hadapan ribuan penyokong tempatan serta keluarga tercinta yang bersorak di garisan penamat.

Perlumbaan tersebut meliputi cabaran sejauh 214.9 kilometer dari Melaka ke Medini.

Anak jati Johor itu melakukan pecahan solo pada jarak 32 kilometer terakhir namun usahanya dipatahkan pelumba Britain Zeb Kyffin.

Kyffin mempamerkan kayuhan lebih bertenaga pada 400 meter terakhir untuk muncul juara dengan kelebihan dua saat.

Nur Aiman menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan prestasi yang membanggakan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga dapat tempat kedua sebab mak saya datang tengok perlumbaan,” katanya.

Beliau menyatakan ibunya jarang berpeluang menontonnya berlumba sebelum ini.

“Saya sebenarnya memang nak menang hari ini sebab berlumba di Johor. Alhamdulillah dapat nombor dua saya tetap gembira.”

Nur Aiman mengucapkan terima kasih kepada orang Johor yang memberi sokongan dan juga pasukannya TSG.

Kejayaan itu turut melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik ASEAN bagi peringkat ketujuh.

Kali terakhir pelumba Malaysia menaiki podium di LTdL adalah pada edisi 2020 menerusi Mohd Harrif Salleh.

Mohd Harrif Salleh berjaya mencatat podium di peringkat kelima dan ketujuh pada edisi 2020.

Seorang lagi pelumba negara Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil mewakili Malaysia Pro Cycling turut mempamerkan layuhan cemerlang.

Beliau berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik dengan prestasi yang membanggakan. – Bernama