KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd memberi teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd (Meridian) dan mengenakan denda berjumlah RM350,000 kepada lima pengarahnya kerana melanggar keperluan penyenaraian Pasaran Utama.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata Meridian ditegur secara terbuka kerana gagal membuat pengumuman segera bahawa syarikat itu mempunyai perniagaan atau operasi yang tidak penting ketika pengumuman laporan kewangan suku tahun berakhir 30 Jun, 2023 pada 29 Ogos, 2023.
“Dalam hal ini, Meridian tidak mempunyai aktiviti perniagaan atau operasi yang penting berdasarkan laporan suku keempat tersebut, dengan hasil pendapatan syarikat sebanyak RM2.738 juta yang disatukan hanya mewakili 0.93 peratus daripada modal saham syarikat sebanyak RM294.021 juta setakat 30 Jun, 2023,“ kata Bursa Malaysia.
Denda dikenakan kepada Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, (yang telah meletakkan jawatan pada 29 Dis, 2023) Datuk Yap Ting Hau (RM100,000), Tang Boon Koon (RM100,000), Chew Shin Yong (RM50,000), Ng Kok Hok (RM50,000) dan Kunamony S Kandiah (RM50,000).