PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dirasionalisasikan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini sekali gus menjadikan fungsi kawal selia industri penerbangan disatukan di bawah satu entiti, iaitu CAAM.
Dalam sidang media di sini hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata CAAM akan mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawalseliaan ekonomi yang sebelum ini dilaksanakan oleh MAVCOM.
“CAAM dan MAVCOM dirasionalisasikan ... semua fungsi kawal selia industri penerbangan termasuk aspek teknikal dan ekonomi akan disatukan di bawah satu entiti, iaitu CAAM.
“Rasionalisasi CAAM dan MAVCOM ini merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan struktur kawal selia, mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi yang mempunyai peranan hampir sama dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih bersepadu dan efisien kepada industri dan rakyat,” katanya.
Loke berkata langkah yang dilaksanakan ini selari dengan amalan terbaik antarabangsa apabila negara lain kini mengamalkan model kawal selia tunggal dalam sektor penerbangan bagi memastikan penyelarasan yang lebih berkesan.