KUALA LUMPUR: Cadangan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Malaysia dan Indonesia bagi menyelesaikan pertikaian sempadan maritim di Laut Sulawesi masih dalam peringkat kajian, menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menjelaskan bahawa rundingan masih di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini. “Isu ini masih dalam perbincangan awal antara kedua-dua pihak dan sebarang keputusan yang diambil mestilah memberi manfaat kepada kedua-dua negara,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad Hasan menekankan bahawa kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam proses rundingan ini. “Dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia, Kerajaan Persekutuan sentiasa melibatkan kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan tersebut,“ jelasnya.
Soalan mengenai cadangan JDA ini diajukan oleh Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), yang turut mempersoalkan sama ada kaedah pelaksanaannya serupa dengan Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA) atau menggunakan pendekatan lain, terutamanya memandangkan hak Sabah dan Sarawak dilindungi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). - Bernama