KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan bahawa cadangan pembangunan bersama dengan Indonesia di Blok ND6/ND7, Laut Sulawesi masih di peringkat pertimbangan awal dan belum dimuktamadkan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata setakat ini tiada sebarang persetujuan dicapai antara kedua-dua negara dan perbincangan rasmi mengenai cadangan itu juga belum dimulakan.
“Perlu saya tekankan di sini bahawa perkara tersebut masih di peringkat pertimbangan awal bagi meneroka kebarangkalian kerjasama tersebut, dan sememangnya belum lagi terdapat apa-apa perkara yang dimuktamadkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Anifah Aman yang ingin mengetahui status perbincangan antara Malaysia dan Indonesia berkaitan Blok ND6/ND7 serta implikasinya terhadap kedaulatan negara.
Mohamad berkata perbincangan mengenai persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia dibuat melalui Mesyuarat Teknikal Bagi Pembatasan Sempadan Maritim antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditubuhkan sejak 2005.
Beliau berkata kerajaan sentiasa berhati-hati dan membuat penilaian menyeluruh terhadap sebarang cadangan penyelesaian termasuk kerjasama ekonomi bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.
“Kerajaan terus komited untuk memperhalusi dan mencari kesepakatan mengenai perkara ini melalui rundingan mekanisme sedia ada dan memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan sentiasa dipertahankan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Anifah mengenai kesan cadangan itu terhadap hubungan diplomatik, Mohamad menegaskan hubungan Malaysia-Indonesia kekal erat.
“Hubungan Malaysia-Indonesia ini amat akrab, amat baik seperti yang saya sebut di dalam Dewan Rakyat tempoh hari, hubungan Malaysia-Indonesia ini 98 peratus amat baik, dalam keadaan yang terbaik,” katanya.
Beliau menjelaskan walaupun rundingan persempadanan maritim masih di peringkat teknikal, banyak persetujuan telah dicapai termasuk persepadanan darat di Sabah.
Selain itu, beliau memaklumkan perdagangan kedua-dua negara mencatatkan pertumbuhan positif menerusi pelbagai persetujuan yang dicapai dalam rundingan pemimpin tahunan, termasuk pembukaan perdagangan sempadan antara Sarawak-Indonesia dan Sabah-Indonesia.
“Kita nak buka sempadan Tebedu supaya ia menjadi sebagai pusat dagangan...ini telahpun dibuka, telahpun dipersetujui dan ini akan merancakkan lagi hubungan dagang antara dua hala Malaysia dan Indonesia,” katanya. – Bernama