• 2025-08-14 03:55 PM

KUALA LUMPUR: Cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada hujung bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang Kerajaan MADANI.

Beliau menyatakan pemisahan ini telah lama dituntut dan akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

“Pemisahan ini memang dituntut sejak agak lama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini, jadi kemajuan itu menggalakkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai undang-undang lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan.

Beliau menegaskan Kerajaan MADANI telah melaksanakan 23 reformasi undang-undang termasuk dua pindaan Perlembagaan.

Antara reformasi tersebut ialah pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak dan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

“Hal ini saya tegaskan ialah rekod dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang belum dapat ditandingi oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Anwar turut menyenaraikan pencapaian reformasi undang-undang sejak 2023 hingga 2025.

Mengenai undang-undang antilompat parti, beliau menyatakan kesediaan untuk melengkapkan perundangan tersebut.

“Walaupun ada tuntutan, ada cadangan baharu, tidak apalah. Tetapi, janganlah kita padamkan bahawa yang menghalang dulu itu Yang Berhormat sebelah sana,” katanya merujuk kepada pembangkang. - Bernama