Your Title

KOTA BHARU: Cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Kelantan masih di peringkat Program Pendengaran Awam (Publisiti dan Penyertaan Awam) yang bermula pada 11 Okt hingga 11 Nov depan, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata pihaknya membuat cadangan tersebut supaya rancangan pembangunan di Kelantan dapat diselaraskan dan memberi jaminan bahawa kawasan punca air atau tadahan air tidak akan diganggu.

“Sebenarnya kami masih di peringkat pendengaran awam, kami buat cadangan tersebut supaya dapat selaraskan dengan rancangan pembangunan di Kelantan.

“Bagaimanapun, kawasan yang berkaitan dengan kawasan takungan air kami tidak akan sentuh dan kami akan bagi maklumat selanjutnya selepas peringkat pendengaran awam selesai,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kali ke-23, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan bercadang menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS di negeri itu diteruskan.

Beliau berkata hal ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang diperkenalkan pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Menurut Nik Nazmi pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberikan implikasi, antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara.

Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-22/2020 pada 21 Okt 2020 memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS. - Bernama.