PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang spesifik dan khas untuk kesalahan buli siber, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam kenyataan hari ini, Azalina berkata walaupun terdapat beberapa peruntukan di bawah perundangan sedia ada termasuk di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) namun didapati peruntukan sedia ada itu bersifat umum dan tidak memperuntukkan kesalahan ‘buli siber’ secara khusus dan nyata.

“Maka, adalah jelas bahawa terdapat kelompangan undang-undang berkenaan dengan isu ini. Oleh yang demikian, unsur jenayah di bawah peruntukan kesalahan sedia ada menyukarkan penyiasatan dan pendakwaan di samping berkemungkinan menjadi antara penyebab orang ramai mengambil isu buli siber secara ringan, lantas mengakibatkan isu ini terus berleluasa,” katanya.

Beliau berkata cadangan pindaan di samping memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’ bakal mengklasifikasikan perbuatan buli siber sebagai suatu kesalahan di Malaysia secara spesifik dan dengan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneliti pindaan berbangkit ke Kanun Tatacara Jenayah untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber dikuatkuasakan secara efektif.

Selain itu, beliau berkata kerajaan sedang memperhalus dasar bagi cadangan penggubalan suatu rang undang-undang baharu dengan matlamat utama untuk meningkatkan tahap kebertanggungjawaban penyedia perkhidmatan dalam talian mengenai isu keselamatan dalam talian, khususnya kandungan yang memudaratkan melibatkan mangsa kanak-kanak termasuk isu buli siber.

Antara lain, cadangan penggubalan rang undang-undang baharu ini juga akan memberikan kuasa baharu kepada pihak berkuasa untuk melindungi semua pengguna Internet khususnya kanak-kanak, melalui kerjasama erat dengan penyedia perkhidmatan dalam talian.

“BHEUU akan menggariskan parameter, proses kerja dan mekanisme yang jelas kepada penyedia perkhidmatan dalam talian, supaya antara lain operasi pencegahan yang dilaksanakan pihak berkuasa teratur dan menggariskan tanggungjawab serta peranan para penyedia perkhidmatan dalam talian,” kata Azalina.

Dalam usaha itu, sesi libat urus yang menyeluruh akan dilaksanakan BHEUU dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital supaya pandangan dan maklum balas semua pihak berkepentingan diambil kira bagi memastikan semua cadangan pindaan yang dilaksanakan kelak berkesan dan memenuhi keperluan negara.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau lebih dikenali Esha yang menjadi mangsa buli siber.

Media sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.