KOTA BHARU: Cadangan untuk menyambung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Pasir Mas masih dalam peringkat kajian oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kementerian Pengangkutan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata cadangan ini dilihat lebih signifikan bagi menghidupkan semula rangkaian kereta api antara Malaysia dan Thailand. “Kerajaan Kelantan mencadangkan jajaran ECRL diteruskan ke Rantau Panjang, bukan Tumpat seperti asal,“ katanya di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini menyatakan kajian sedang dilakukan bagi memperkukuh jaringan dengan Thailand. Mohamed Fadzli menambah, kerajaan negeri merancang pembangunan strategik sekitar ECRL, termasuk Transit Oriented Development (TOD) di Stesen Tunjong dan Cargo Oriented Development (COD) di Pasir Puteh.
Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya akhir 2026, dengan perkhidmatan tren Kota Bharu-Gombak bermula Januari 2027 - Bernama