KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah melancarkan Pangkalan Cawangan Kereta Peronda (MPV) baharu di Jinjang bagi memudahkan operasi rondaan dan meningkatkan keselamatan awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pembinaan pangkalan ini dilaksanakan selepas pihak IPD Sentul menghadapi masalah kekangan tempat letak kenderaan dan terpaksa menumpang di Balai Polis Jinjang sebelum ini.
“Melalui usaha itu, satu kajian dan pengumpulan maklumat telah dijalankan terhadap kawasan stor barang kes yang terbiar dan tidak digunakan... cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi tetap Pangkalan MPV telah dikemukakan,“ katanya semasa perasmian pangkalan tersebut.
Pembinaan pangkalan ini mendapat sokongan kewangan daripada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang menyumbang RM250,000, dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, sebanyak RM15,000.
Menurut Rusdi, unit MPV IPD Sentul mencatatkan peningkatan prestasi dengan menerima 1,127 laporan polis dan menahan 1,155 individu pada tahun lepas berbanding 913 laporan dan 934 tangkapan pada 2023.
“Unit MPV IPD Sentul juga berjaya menangani kes curi kabel, jenayah dadah, kecurian kenderaan, serta menjalankan program komuniti,“ tambahnya.
Sementara itu, Lim Lip Eng mencadangkan agar anggota polis di ibu kota dilengkapi kamera badan dan kamera papan pemuka bagi meningkatkan ketelusan operasi.
“Saya akan bawa perkara ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan, terutamanya bagi Polis Kuala Lumpur yang menghadapi kadar jenayah lebih tinggi berbanding kawasan lain,“ jelasnya. - Bernama