• 2025-07-21 07:29 PM

KUCHING: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terjunam ke dalam tasik berdekatan bulatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Launtin, mengesahkan mangsa sebagai Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50, manakala anaknya, Nur Badrina Saharidan, 17, terselamat tanpa kecederaan.

“Kemalangan melibatkan sebuah motokar yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari Desa Ilmu ke Sekolah Menengah Kebangsaan Muara Tuang melalui jalan dalam kawasan UNIMAS,“ jelas Damataries dalam kenyataan rasmi.

“Kenderaan dipercayai berhenti seketika di tepi jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas masuk ke tasik.”

Nur Shareefah Lusia disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Prima UNIMAS pada jam 11.51 pagi semasa menerima rawatan. Jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat. Anaknya, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), dilaporkan selamat.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama