IPOH: Kerajaan Perak meminta kerajaan Persekutuan mempercepat pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah untuk menangani masalah kekurangan bekalan air, terutamanya ketika musim kemarau.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek ini bukan sahaja membantu mengatasi masalah pengairan sawah di utara Perak tetapi juga menyokong bekalan air bersih untuk Kawasan Industri Getah Bersepadu (KIGIP).
“Dahulu permintaan kita untuk projek ini khusus bagi mengatasi masalah pengairan sawah di utara Perak. Sekarang ia bukan hanya untuk itu tetapi juga untuk membangunkan loji rawatan air baharu yang boleh membekalkan air untuk KIGIP, penduduk utara Perak, dan lebihan dijual ke Pulau Pinang,“ katanya.
Saarani berkata demikian selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia.
Media sebelum ini melaporkan permintaan Timbalan Pengerusi Pesawah, Azhar Hashim, supaya projek ini dipercepat bagi menyelesaikan masalah bekalan air untuk pertanian, terutama penanaman padi.
Mengenai cadangan pembenihan awan, Saarani berkata ia perlu dirujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan NADMA kerana bergantung pada faktor teknikal seperti arah angin dan formasi awan.
“MetMalaysia menasihatkan sekarang bukan masa sesuai kerana arah angin tidak menentu. Kita tak mahu usaha ini menjadi sia-sia,“ jelasnya.
Sementara itu, petani di kawasan terlibat terpaksa bergantung pada bekalan air dari sungai berhampiran di bawah seliaan MADA sebagai langkah sementara.
Saarani turut mengumumkan peruntukan lebih RM1.6 juta sebagai insentif kepada 399 pesara kerajaan negeri sebagai penghargaan atas khidmat mereka.
“Pesara ini bersara antara 1 Januari hingga 31 Disember 2024 dan menerima insentif RM4,000 setiap seorang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium,“ katanya. - Bernama