SEREMBAN: Cadangan semakan tarif air di Negeri Sembilan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertujuan menangani cabaran bekalan air serta memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien untuk kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) berkata langkah itu penting bagi memastikan penyelenggaraan dan pembaikan rangkaian paip air lama dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
“Hampir setiap tahun SAINS memperuntukkan sehingga RM20 juta bagi kerja-kerja naik taraf dan pemulihan paip lama. Selain itu, kita juga mahu memulihkan kembali tangki air sedia ada dan tangki yang tidak berfungsi,” katanya.
Sebelum ini, SPAN mengesahkan penerimaan permohonan semakan kadar tarif bekalan air daripada operator di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu, namun penelitian rapi masih dibuat.
Selain Negeri Sembilan, negeri terlibat adalah Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang. - Bernama