• 2025-07-21 08:50 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menubuhkan agensi kepercayaan kredit bagi mengawal selia kelayakan peminjam wang. Cadangan ini bertujuan mengurangkan tekanan kewangan pengguna dan mengelak peminjaman daripada along tidak berlesen.

Ahli Parlimen Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata, “Walaupun Malaysia ada agensi pelaporan kredit seperti CTOS, ramai rakyat tidak faham konsep kredit skor. Agensi kepercayaan kredit yang telus boleh membantu peminjam berdisiplin serta layak dapatkan fasiliti kewangan lain.”

Beliau menyatakan perkara itu semasa Perbahasan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rodiyah Sapiee (PH Batang Sadong) mencadang penubuhan pusat data khas bagi perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL).

“Data BNPL perlu dipisah daripada sistem kredit konvensional seperti CCRIS kerana ia boleh jejas kelayakan pinjaman besar seperti perumahan,“ katanya.

Beliau mencadangkan pusat data BNPL diwujudkan di bawah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi pantau risiko kredit tanpa ganggu rekod kewangan utama. - Bernama