• 2025-06-26 10:21 AM

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula tarif elektrik yang diumumkan baru-baru ini memberi peluang kepada pengguna domestik untuk menjimatkan bil utiliti dengan mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemat.

Pekerja swasta Rozita Ibrahim, 38, berkata skim Masa Penggunaan (TOU) membolehkan pengguna mengurangkan bil elektrik dengan mengelak penggunaan pada waktu puncak. “Nak jimat kena ikutlah masa itu. Contohnya, kerja-kerja rumah seperti basuh dan gosok baju semuanya kita buat di luar waktu puncak,“ katanya.

Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik lebih adil melalui jadual tarif baharu. Skim TOU turut diselaraskan dengan tempoh luar puncak lebih panjang, termasuk seluruh hujung minggu dan waktu malam hingga petang pada hari bekerja.

“Ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari,“ jelas ST.

Pensyarah Joe, yang memiliki lapan anak, berkata penstrukturan tarif melatih pengguna lebih berdisiplin. “Sabtu dan Ahad merupakan luar waktu puncak, jadi kami bereskan kerja rumah pada waktu itu. Hari biasa kami kurangkan penggunaan,“ katanya. Beliau juga merancang memasang ‘timer’ untuk mengawal peralatan elektrik secara automatik.

Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dari USIM mencadangkan penggunaan tenaga solar sebagai alternatif jimat elektrik. “Pemasangan panel solar di kediaman mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik 50 hingga 100 peratus,“ katanya.

Tarif baharu ini akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.