IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa berdasarkan pemeriksaan bedah siasat, kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, adalah disebabkan oleh kecederaan dada dan abdomen akibat perlanggaran di jalan raya.
Pakar Perubatan Forensik Dr Ain Nurfarhana Hamdan, 35, berkata beliau menjalankan pemeriksaan ke atas pelajar Tingkatan Lima itu pada 15 Dis 2023, 3 petang, di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, selepas permohonan dibuat oleh pegawai penyiasat.
Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat tanda-tanda kecederaan luaran seperti kesan lebam, lecet dan calar serta kecederaan dalaman antaranya lapan tulang rusuk mangsa patah iaitu empat di belakang kanan, tiga di belakang sisi kiri serta satu lagi di sisi kiri.
“Antara kawasan yang lebam adalah pada bahagian dalam kelopak mata atas kanan dan kesan lecet pada bahagian luar kening kanan, kesan lecet pada bahagian atas pipi kanan dan lebam berlecet pada bahagian bawah pipi kanan sehingga dagu kanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bunuh itu yang memasuki hari ke-12 hari ini di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.
Dr Ain Nurfarhana berkata pemeriksaan dalaman pula mendapati antara kecederaan mangsa adalah pada bahagian rongga abdomen mengandungi pengumpulan darah berjumlah 2,000 mililiter (hemoperitoneum), hati pecah pada bahagian kanan, sekitar buah pinggang kanan dan sekitar kelenjar adrenal kanan lebam.
“Ringkasan dan kesimpulan yang saya buat hasil daripada pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan ke atas si mati adalah menunjukkan kesan kecederaan pada bahagian kepala, muka, dada, abdomen, belakang badan, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki.
“Kesan kecederaan pada tubuh badan si mati adalah berpadanan dengan corak kecederaan perlanggaran di jalan raya. Kecederaan pada bahagian dada dan abdomen si mati adalah kecederaan parah dan menyebabkan kematiannya,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mohd Nazri didakwa melakukan kesalahan membunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung petang ini.