KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Rusia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah kem tentera, dua minggu lepas.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu ke atas Zakharov Ilia, 35, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan pencerobohan dengan berada dalam kawasan larangan Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, pada 4.50 petang, 14 Dis lepas, mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran.
Terdahulu, Peguam P. Suthes yang mewakili Zakharov memohon mahkamah memberikan hukuman denda atas alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar sebuah universiti swasta di ibu kota.