• 2025-09-04 07:30 PM

BRASILIA: Ratu wushu negara Tan Cheong Min terus mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pingat perak dalam Kejohanan Wushu Dunia ke-17 di Brasilia.

Cheong Min mempersembahkan rutin bertenaga dalam acara nandao wanita untuk mengumpul 9.726 mata.

Pencapaiannya hanya dipisahkan 0.02 mata daripada juara dunia dari China Zhang Yaling yang meraih 9.746 mata.

Kejayaan ini mengukuhkan status Cheong Min sebagai antara atlet wushu terbaik Malaysia dan dunia.

Beliau sebelum ini memperoleh pingat emas pertama dalam acara wushu di Sukan Dunia di Chengdu bulan lepas.

Atlet kelahiran Melaka itu pernah merangkul gelaran juara dunia 2017 di Kazan dalam acara duilian.

Beliau menambah gelaran keduanya pada 2019 di Shanghai dalam acara nandao.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Lee Jia Rong turut menambah koleksi pingat dengan gangsa dalam acara gunshu wanita.

Lee mencatatkan 9.703 mata dalam acara gunshu tersebut.

Pingat emas acara itu dimenangi wakil China dengan 9.746 mata.

Pingat perak menjadi milik atlet Macau dengan catatan 9.713 mata. – Bernama