SHAH ALAM: Bintang muda Indonesia Alwi Farhan Alhasny menjadikan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebagai idola kerana kagum dengan permainan pantas dan agresif pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu.

Juara dunia remaja 2023 itu berkata Chong Wei juga menjadi sumber inspirasinya dalam sukan badminton kerana mempunyai persamaan dalam gaya permainan yang dipamerkan ketika menentang lawan.

“Idola luar negara? Chong Wei. Saya rasa boleh (beraksi) seperti Chong Wei kerana suka bermain corak permainan menyerang. Kalau di Indonesia, sama seperti Anthony Sinisuka Ginting,” katanya kepada pemberita pada hari pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam di sini hari ini.

Pemain perseorangan lelaki berusia 18 tahun itu menyumbang mata buat Indonesia ketika menewaskan Arab Saudi 5-0 dalam saingan Kumpulan D, selepas menewaskan Muath Alghamdi 21-2, 21-10.

Indonesia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok dan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan pada Khamis (15 Feb).

Alwi Farhan turut berterima kasih atas kepercayaan diberikan oleh Persatuan Badminton Indonesia yang memilihnya beraksi pada kejohanan dwitahunan yang menawarkan slot ke Piala Thomas pada Mei nanti dengan empat pasukan terbaik layak automatik ke kejohanan berprestij itu.

Beliau yang baharu sahaja melalui transisi dari skuad remaja ke senior tahun ini, mengakui tidak mudah buatnya menandingi kehebatan pemain di peringkat senior.

“Sebenarnya tahun lepas ada dalam senarai Sukan SEA namun tidak sempat diturunkan kerana pasukan sudah menang. Pastinya bersyukur (hari ini) kerana saya semangat untuk (terus) beri mata buat Indonesia.

“Namun lawan di peringkat senior ini tidak mudah apabila memerlukan kekuatan fizikal dan mental,” katanya. –Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image