DUBAI: Delegasi Malaysia ke Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada tahun ini mencatatkan penyertaan terbesar iaitu melibatkan seramai 600 perwakilan, kata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

COP28 berlangsung bermula hari ini sehingga 12 Dis di Expo City Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Acara ini dijangka melibatkan 70,000 perwakilan termasuk ketua-ketua negara dan pemimpin dunia untuk melahirkan persetujuan dan memudahkan perkembangan tindakan iklim dalam kalangan pihak berkaitan, perwakilan dan ribuan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat, kumpulan belia dan pihak berkepentingan lain.

Ketua Setiausaha NRECC Dr Ching Thoo Kim berkata penglibatan delegasi yang amat memberangsangkan itu memperlihatkan komitmen dan usaha kerajaan untuk memberi sumbangan penting terhadap tindakan global mengenai perubahan iklim.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Dunia yang dijadualkan pada Jumaat.

“Seri Paduka juga berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Pavilion Malaysia pada hari yang sama,” kata Ching semasa taklimat di Pavilion Malaysia di lokasi penganjuran COP28 di sini.

Menteri NRECC Nik Nazmi Nik Ahmad akan turut menyampaikan Kenyataan Negara semasa Segmen Peringkat Tinggi COP28.

Menurut Ching, Pavilion Malaysia akan menampilkan lebih 60 penceramah terkemuka, 28 sesi perbincangan panel, pelbagai mesyuarat dua hala dan persembahan kebudayaan di sepanjang persidangan itu.

Bertemakan “Menjangkau: Pertumbuhan Hijau, Komuniti Berdaya Tahan, Planet Lestari,” Pavilion Malaysia menekankan pendekatan negara terhadap isu iklim dan biodiversiti.

Pavilion ini berperanan sebagai manifestasi etos kerjasama, satu elemen teras dalam kebudayaan Malaysia, menyatukan pemimpin pemikiran Malaysia dan antarabangsa merentasi sektor awam, swasta dan sosial.–Bernama