• 2025-07-15 05:59 PM

KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia (CSM) kini di peringkat akhir penyediaan strategi penguatkuasaan yang menumpukan kepada memperkukuh kepercayaan digital dan mempertingkatkan keselamatan data, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata draf akhir strategi itu telah pun dikemukakan kepadanya minggu lepas dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini untuk mendapatkan maklum balas serta kelulusan.

“Satu daripada tumpuan utama adalah pembangunan ekosistem yang berteraskan kepercayaan digital,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ASEAN 5G & OT Security Summit (5GOT) di sini hari ini.

Gobind berkata adalah penting untuk memastikan mekanisme penguatkuasaan diwujudkan melalui penubuhan agensi khusus.

Beliau berkata langkah yang diambil tanpa mekanisme penguatkuasaan yang kukuh tidak akan membawa keberkesanan.

“Namun, perkara itu akan diputuskan oleh Jemaah Menteri dari semasa ke semasa,” katanya.