• 2023-08-15 03:12 PM

JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh taska didenda RM40,000 dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan bertindak cuai terhadap dua bayi di sebuah taska, di Taman Mutiara Rini, di sini, Mac lepas.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, dan memerintahkan dikenakan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah juga memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM20,000 tidak bercagar bagi setiap pertuduhan dan menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan mulai hari ini bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Che Wan Zaidi berkata walaupun perbuatan tertuduh tidak membabitkan kecederaan ke atas kedua-dua bayi itu, namun sepatutnya mereka dijaga dengan penuh kasih sayang.

Beliau berkata sebagai pengasuh yang diamanahkan di pusat asuhan itu, tertuduh didapati bertindak cuai dan melakukan perbuatan yang tidak sewajarnya ke atas kedua-dua bayi tersebut.

“Oleh itu, mahkamah perlu beri satu hukuman yang bersesuaian dengan perbuatan kamu dan ia sebagai pengajaran kepada kamu, masyarakat, taska atau pusat asuhan, juga supaya kamu menjadi orang yang lebih baik pada masa depan,“ katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ari, manakala tertuduh diwakili peguam Syufri A. Samad.

Pada 21 Mei lepas, Nurul Shahira A’shiqin mengaku bersalah atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dan seorang bayi lelaki berumur tujuh bulan di sebuah taska.

Wanita itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kedua-dua bayi berkenaan didakwa telah bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah taska di Taman Mutiara Rini, di sini, kira-kira 1 tengah hari, Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, dan sebagai tambahan tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Ahli keluarga bayi perempuan berusia sembilan bulan itu turut hadir di mahkamah hari ini.-Bernama