IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meminta orang ramai memberikan maklum balas yang bernas serta berfakta berhubung cadangan kenaikan kadar cukai taksiran, dijangka bakal dilaksanakan selewat-lewatnya Mei tahun depan.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata ini kerana cadangan tersebut tertakluk di bawah bidang perundangan selain hanya akan diputuskan selewat-lewatnya Mei tahun hadapan.
“Sebab itu dalam tempoh sekarang ini kita minta penduduk respon dan bagi kita idea atau yang bernas supaya kita dapat selesaikan perkara ini secara matang. Bukan (komen) mencarut, maki hamun dan beremosi.
“Di pihak MBI sendiri, cadangan ini bukan dibuat sesuka hati iaitu kita rujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang setiap lima tahun sekali patut kita buat penilaian. Untuk rekod, kali terakhir penilaian dibuat adalah pada 1982 iaitu 42 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi Projek Pemuliharaan Bangunan dan Pembangunan Komersial di Tapak Stor Tasek antara MBI dan Pertubuhan Kebajikan A2Z di sini, hari ini.
Pada 15 Nov lepas, Rumaizi dalam kenyataan berkata keputusan sama ada mengekalkan atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.
Beliau memaklumkan kadar peratusan cukai dikenakan di bandar raya Ipoh yang dianggap tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 16.5 peratus telah diturunkan kepada sembilan peratus bagi kategori bangunan kediaman dan perniagaan.
Semalam, Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh mahu lebih banyak persatuan penduduk tampil menyuarakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran berkenaan.
Ketuanya Ahmad Humaizi Din Mustafaha berkata daripada maklum balas diterima, kenaikan kadar cukai sembilan peratus itu tidak dipersetujui ramai kerana tinggi dan membebankan pemilik hartanah.
Sementara itu, Rumaizi berkata maklum balas secara bertulis berhubung isu berkenaan boleh dibuat secara dalam talian ke emel penilaian@mbi.gov.my atau secara fizikal di Jabatan Penilaian dan Hartanah sebelum 22 Nov ini.
MBI juga katanya akan melaksanakan sesi libat urus secara bersemuka dengan penduduk sehingga awal tahun hadapan yang bertujuan memberikan pencerahan berhubung cukai itu.
Selain itu, katanya segala dapatan berhubung perkara tersebut juga akan dibentangkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
Mengulas tentang kerjasama MBI dan Pertubuhan Kebajikan A2Z, Rumaizi berkata ia melibatkan projek pemuliharaan sebuah bangunan dua tingkat di Kawasan Perindustrian Tasek, di sini, yang akan dijadikan pusat komersial dalam masa terdekat.
“Pertubuhan itu akan membawa elemen seni, budaya dan fesyen ke dalam reka bentuk bangunan ini dan ia akan menjadi satu daripada lokasi pelancongan seni budaya yang unik di Ipoh dan Malaysia amnya,” katanya.