ALOR SETAR: Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah manakala dua rakan sekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan secara bersama-sama mencuri wang tunai berjumlah RM200,000, minggu lepas.

Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan esok untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya berikutan barang kes tidak dapat dikemukakan hari ini.

Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama-sama telah mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 yang dalam milikan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn Bhd di sekitar lampu isyarat Taman Kristal di sini, 10.34 pagi pada 19 Nov lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Jayasri sementara Muhd Fairul Fizree diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan H. A. Chua.

Dua lagi tertuduh diwakili peguam Ilyana Syafiqa Md Saad dan Mohamad Aizuddin Mohamad Nizam.

Mahkamah menetapkan 29 Dis sebagai tarikh serahan dokumen terhadap dua tertuduh yang tidak mengaku bersalah.

Siti Norhidayah turut menetapkan jaminan sebanyak RM4,500 kepada setiap tertuduh.