KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu polis menyiasat dakwaan seorang kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sebuah kandang kuda di sini, pada Jun dengan segera.
Menerusi hantaran di Instagram Story baginda @this.7, Tengku Hassanal bertitah tiada siapa pun mengatasi undang-undang termasuk kerabat diraja, dan baginda mahu siasatan itu dilakukan secara telus, adil serta tegas tanpa kompromi mana-mana pihak.
“Saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” titah baginda.
Sebuah portal hari ini melaporkan seorang lelaki yang juga pekerja pembinaan dan penyelenggaraan, mendakwa diserang sekumpulan individu termasuk seorang kerabat diraja Pahang dan dilaporkan mangsa cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dipetik berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan, sebelum diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Beberapa individu menurut Yahaya sudah ditahan sebelum ini berhubung kes terbabit, dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan kes berkenaan.