KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya bahasa Melayu semakin terpinggir di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI disifatkan tidak berasas, malah bercanggah dengan usaha berterusan kerajaan memperkasakan kedudukan bahasa kebangsaan itu.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Kerajaan MADANI dilihat lebih progresif dan konsisten dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai medium utama pentadbiran serta wacana kebangsaan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Dakwaan yang mengatakan bahasa Melayu semakin hilang peranannya hanyalah strategi politik,” katanya yang mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mendakwa bahasa Melayu dan kedudukan bangsa Melayu semakin terancam di bawah kerajaan sedia ada.
Awang Azman berkata kenyataan itu juga bercanggah dengan sejarah pentadbiran Tun Dr Mahathir sendiri, khususnya ketika memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003.
“Dasar itu mencetuskan kontroversi besar kerana ramai pihak, termasuk Gerakan Mansuhkan PPSMI mengkritik dasar ini kerana dianggap meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan.
“Jadi timbul persoalan, jika benar bahasa Melayu adalah teras identiti bangsa, mengapa dasar yang beliau laksanakan sendiri dilihat melemahkan peranannya?,” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata seruan menyatukan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan alat politik semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan tindakan konkrit yang konsisten dengan prinsip keadilan, inklusif dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya serta bahasa di Malaysia.
Senada dengan beliau, Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan turut berpandangan ini bukan kali pertama Tun Dr Mahathir menggunakan isu ‘orang Melayu’ dalam mencapai objektif politiknya.
“Tiada istilah bahasa Melayu terancam ketika ini. Cuma ada segelintir golongan kecil yang melihat bahasa Melayu itu tidak intelek, namun hakikatnya mereka yang kurang intelek.
“Malah, keadaan hari ini jauh lebih stabil berbanding ketika tercetusnya isu ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan pengiktirafan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 2018 semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir yang waktu itu menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz pula menegaskan bahawa hak orang Melayu, termasuk kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Yang di-Pertuan Agong serta kerajaan memerintah ialah pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan peruntukan berkenaan. Jika ada pihak yang mendakwa kerajaan mengabaikan peruntukan ini mereka perlu mengemukakan bukti yang jelas.
“Sejak dulu isu berkaitan hak orang Melayu ini memang sering dijadikan hujah poitik oleh pelbagai pihak, namun kedudukannya kekal terpelihara dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Shamrahayu berkata setiap kerajaan bertanggungjawab memastikan realisasi hak-hak orang Melayu secara berterusan dan sebarang pengabaian terhadap peruntukan itu bertentangan dengan semangat Perlembagaan.