• 2025-09-22 01:12 PM

KUALA LUMPUR: Dapatan dan saranan daripada mesyuarat Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) akan dibentangkan dan dibincangkan secara kolektif pada sesi bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penubuhan AGTF bertujuan mewujudkan platform ASEAN Track 1.5 yang ad-hoc dan khusus di bawah bidang kuasa Forum Teknikal Peringkat Tinggi ASEAN.

Beliau menyatakan AGTF berperanan membangunkan penyelesaian strategik sebagai respons terhadap pelbagai tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat pada awal tahun ini.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa peranan AGTF telah diperluas untuk merangkumi pelbagai keutamaan geopolitik dan geoekonomi yang lebih luas berikutan mesyuarat khas AEM pada 10 April lepas.

Pendekatan itu memastikan perspektif yang seimbang, menggalakkan persefahaman bersama dan membimbing dasar yang memperkukuh daya tahan ekonomi dan kesepaduan politik ASEAN.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat AGTF ke-5 hari ini di luar Mesyuarat AEM ke-57 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Menurut Tengku Zafrul, ASEAN akan dapat merangka strategi yang memacu pertumbuhan mampan, memperkukuh daya tahan dan menjamin kemakmuran jangka panjang negara anggota dengan menyepadukan pertimbangan ekonomi dan politik.

Keputusan dasar, rangka kerja tadbir urus dan kerjasama serantau secara kolektif membentuk perdagangan, pelaburan dan ekosistem ekonomi secara keseluruhan.

AGTF ditubuhkan pada Sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-31 di Desaru, Johor pada Februari lepas dengan mesyuarat pertamanya diadakan pada 16 Mei lepas. – Bernama