PEKAN: Dapatan Banci Pertanian 2024 penting untuk diketengahkan agar orang ramai dapat mengetahui pelbagai peluang yang boleh diterokai dalam bidang pertanian.

Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata data yang sedang dikumpulkan, pasti akan memanfaatkan pelbagai pihak sekali gus memberikan hala tuju dalam bidang pertanian.

“Di luar sana, ramai tak nampak peluang, hanya orang tertentu yang nampak...dan berdasarkan data-data ini, program sedia ada juga dapat ditambah baik oleh kerajaan,“ katanya kepada pemberita sambil memaklumkan dapatan lengkap Banci Pertanian akan dikeluarkan pada tahun depan.

Beliau ditemui ketika turun padang di Kampung Pulau Manis, di sini bersama Timbalan Pesuruhjaya (Teknikal) Pahang Razaman Ridzuan bagi bertemu pengusaha Sharifah Yusnida Saiyed Ibrahim yang melaksanakan pelbagai aktiviti pertanian antaranya perikanan akuakultur, ternakan lembu serta kambing.

Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini telah memasuki hari ke-6 sejak ia mula dijalankan pada 7 Julai lepas di seluruh negara. Banci merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, selain perhutanan dan pembalakan.

Di Pahang, pembancian akan dijalankan ke atas 83,550 Tempat Kediaman (TK) dan 1,996 pertubuhan atau entiti perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian. Sehingga 19 Julai lepas, sebanyak 13,609 TK telah dilawati manakala sebanyak 10,636 TK telah selesai dibanci.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Pahang telah melaksanakan Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 di 11 daerah, melibatkan beberapa agensi di bawah sektor pertanian, Jabatan Kemajuan Orang Asli, serta Pejabat Daerah dan Tanah di peringkat daerah.

Banci Pertanian 2024 disasarkan untuk mencapai satu daripada hasil utama, iaitu membangunkan satu Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang mengandungi maklumat mengenai rantaian pertanian (huluan dan hiliran) dan akan dikemas kini secara berkala.

Sehubungan itu, Mohd Uzir berkata DOSM mengharapkan kerjasama daripada semua pengusaha, isi rumah, institusi, dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian.