• 2025-06-22 01:13 PM

BUKIT MERTAJAM: Dalam kesibukan mengejar ilmu dan berdepan kekangan kewangan, tidak semua mahasiswa khususnya golongan B40 dapat menikmati makanan harian yang mencukupi.

Menyedari realiti itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang tampil dengan inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (Dapur HEP) sekali gus menjadikan kampus pertama di Semenanjung yang menubuhkan inisiatif seumpamanya selepas UiTM Cawangan Sabah di Borneo pada 2023.

Ia cetusan idea Timbalan Naib Canselor HEP Prof Dr Mohd Sazili Shahibi dalam mesyuarat bersama Timbalan Rektor HEP seluruh UiTM dua tahun lepas dan direalisasikan di UiTM Cawangan Pulau Pinang pada 4 Jun 2023 di bawah kepimpinan Prof Madya Dr Basharudin Abdul Hadi yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Rektor HEP.

Staf Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar UiTM Pulau Pinang Dewi Anis Othman berkata Dapur HEP di kampusnya bermula dengan sumbangan empat unit periuk nasi dan 20 kilogram beras oleh pihak swasta, kini sudah ada dua set dapur selain barangan keperluan asas serta makanan dalam tin.

“Dapur ini dilengkapi kemudahan asas memasak, beroperasi di pantri sedia ada di tingkat dua masing-masing satu terletak di kolej siswa (Intan) dan siswi (Nilam).

“Dapur ini dibuka setiap hari bermula 7 pagi hingga 11 malam dengan pemantauan harian oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) daripada aspek kebersihan dan stok barangan,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.

Meskipun dapur itu menyasarkan golongan B40, namun beliau berkata ia terbuka kepada semua penuntut kerana pihaknya memahami akan kesukaran dihadapi penuntut apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang perlu mengikat perut untuk menjimatkan perbelanjaan bagi menampung pengajian di kampus.

Dewi Anis memaklumkan inisiatif berkenaan membantu kira-kira 50 peratus daripada 5,500 penuntut dari tujuh kolej kediaman di kampus itu setakat ini, malah turut mendapat pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Khas Dapur HEP Terbaik Kategori Emas pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Residensi Mahasiswa 2024 UiTM Se-Malaysia pada Januari lepas.

Selain itu, beliau berkata Dapur HEP turut menjadi contoh kepada institusi lain termasuk dalam kalangan negara ASEAN seperti Indonesia dan Thailand yang mengadakan lawatan ke kampus itu bagi melihat model diguna pakai UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk diaplikasikan di universiti mereka.

“Harapan kita untuk memperluas inisiatif Dapur HEP ini supaya lebih ramai penuntut mendapat manfaat terutama pelajar kurang upaya dan sedang berusaha mencari lokasi sesuai di aras bawah,” katanya sambil menambah kira-kira 15 kampus UiTM termasuk kampus satelit telah memulakan pelaksanaan inisiatif Dapur HEP, setakat ini.

Sementara itu, pelajar Sarjana Kejuruteraan Kimia Nur Basiroh Mohd Rahim, 26, memuji usaha UiTM mewujudkan Dapur HEP kerana sangat membantu dalam menjimatkan perbelanjaan makan.

“Biasanya saya belanja sekitar RM15 sehari untuk makan. Dengan adanya Dapur HEP ini saya dapat berjimat terutama pada hari minggu dengan memasak sendiri seperti nasi goreng dan kongsi bersama kawan-kawan,” katanya.

Muhammad Hakimie Azim Azha, 22, pula berkata usaha pihak UiTM memperkenalkan Dapur HEP wajar dicontohi universiti lain kerana bukan semua pelajar datang daripada keluarga berkemampuan.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu mereka tidak perlu berbelanja lebih untuk membeli makanan terutama nasi dan wang dijimatkan itu boleh digunakan untuk pembelajaran.

“Belajar di universiti guna banyak duit lebih-lebih lagi macam saya ambil jurusan pelancongan selalu ada trip luar jadi memang saya manfaatkan sepenuhnya Dapur HEP ini, rugi kalau tak guna sebab ia amat menjimatkan belanja makan.

“Dalam seminggu empat ke lima kali saya akan guna dapur itu untuk memasak, boleh jimat RM15 ke RM20 belanja makan,” kata penuntut tahun akhir Diploma Pelancongan itu.