PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat meneliti aspek pemberian lesen bazar Ramadan di ibu negara tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata proses berkaitan kini dilaksanakan DBKL bagi memastikan peniaga yang layak dan ingin berniaga mendapat lesen untuk beroperasi di bazar berkenaan.

“Yang keduanya (kita teliti) penyelenggaraan bazar Ramadan ... saya yakin ini (aspek pemberian lesen dan penyelenggaraan bazar) akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas program car free day (CFD) di sini hari ini.

Ditanya adakah terdapat isu tertentu dibangkitkan persatuan penjaja berhubung tapak bazar Ramadan, beliau berkata pihaknya tidak mendapat sebarang aduan daripada pihak berkenaan.

“Setakat ini tak ada (isu), saya nampak mereka ada juga bertemu dengan contohnya Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk membincangkan tentang beberapa perkara,” katanya.

Sebelum ini, Dr Zaliha berkata DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.

Mengenai CFD, beliau berkata pihaknya berhasrat memanjangkan tempoh program berkenaan kepada sehari berbanding hanya beberapa jam ketika ini.

“Kita akan cuba melihat juga bukan hanya setakat sejam (program CFD) tetapi satu hari. Yang ini kita sedang kaji dan kalau ia mendapat sambutan maka kita akan memperluas,” katanya.

CFD, acara bulanan di Putrajaya yang diadakan pada setiap Ahad minggu kedua dan hari ini ia diadakan serentak dengan Kempen Kibar Bendera Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2025.