KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perincian dokumen tersebut akan diedarkan kepada media selepas pelancarannya secara rasmi.

“Kementerian Luar dan Sekretariat ASEAN 2025 akan memastikan media menerima beberapa dokumen yang terkandung dalam deklarasi tersebut,“ katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC.

Menurut laman web rasmi ASEAN 2025, Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045 dijangka akan ditandatangani dan dilancarkan pada 26 Mei ini sempena sidang kemuncak berkenaan.

Malaysia selaku Pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025 akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Isnin dan Selasa depan.

Bersempena dengan persidangan itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadual berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Mengulas pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Fahmi berkata ia merupakan peluang untuk menampilkan kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia kepada delegasi yang akan menghadiri persidangan itu.

“Kali terakhir kita menjadi tuan rumah sidang kemuncak ini ialah 10 tahun lepas. Jadi, ini peluang untuk menunjukkan sejauh mana kemajuan yang telah kita capai,” katanya.

Berhubung penutupan beberapa jalan utama di ibu negara, Fahmi berkata sidang kemuncak kali ini berbeza berbanding sebelum ini susulan kejayaan Malaysia, melalui Kementerian Luar, menarik penglibatan enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

Sementara itu, mengenai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) yang sedang berlangsung, beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri sedang meneliti usaha untuk menambah ruang bagi pameran statik pada edisi akan datang.

“Langkah ini bagi memastikan penganjuran LIMA pada masa hadapan dapat dijalankan dengan lebih meriah dan berjaya,” katanya.

LIMA’25 sedang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi dari 20 hingga 24 Mei ini.