• 2025-10-08 05:57 PM

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024.

Laporan itu meneliti isu ketirisan, ketidakpatuhan peraturan dan kelemahan dalam perancangan kewangan negara.

Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said pada Selasa diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Seramai 23 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan usul semalam.

Timbalan Menteri di JPM M. Kulasegaran berkata Ketua Audit Negara akan audit penyata kewangan Lembaga Kelayakan Profesional Undang-Undang setiap tahun mulai 2026.

Beliau menjelaskan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 dengan Seksyen 9A baharu bersifat bukan retrospektif.

“Bermakna, ia hanya berkuat kuasa ke hadapan. Namun begitu, hal ini tidak menghalang LPQB daripada mengemukakan audit tertunggak secepat mungkin. Sudah 17 tahun mereka tidak diaudit, perkara ini tidak boleh diterima dan kita tidak boleh hanya biarkan begitu sahaja.”

“Ini melibatkan wang rakyat, lebih kurang RM60 juta hasil yuran calon peperiksaan termasuk daripada golongan miskin. Saya akan memohon pihak LPQB membuat audit sepanjang tempoh 17 tahun lepas dan dikemukakan kepada Parlimen sesegera mungkin,“ katanya.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata terdapat penurunan 40% jumlah projek lewat di bawah kementeriannya.

“Perbandingan status projek lewat menyaksikan LKAN 2024 merekodkan 24 projek lewat manakala laporan 2025 mencatatkan hanya 12 projek. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 40%,“ katanya.

Beliau berkata Kementerian PETRA akan terus berusaha mencari langkah penambahbaikan melalui sesi pascanilai tahunan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata JPJ dalam proses membangunkan Sistem e-Baki untuk nombor pendaftaran tidak terjual.

Sistem tersebut merupakan saluran tambahan untuk menawarkan semula nombor pendaftaran kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata 11 projek KPKT yang dilaporkan lewat kini hampir siap.

Hanya satu projek masih tertangguh manakala dua projek telah siap sepenuhnya.

Empat projek menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan empat lagi ditamatkan kontrak untuk ditender semula.

“Kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap teguran Ketua Audit Negara dan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi meneliti tindakan susulan. Insya-Allah setiap ringgit rakyat digunakan sebaik-baiknya,“ katanya.

Sesi penggulungan turut melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan JPM Wilayah Persekutuan. – Bernama